MELAKA – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) terus mengekalkan kecemerlangan apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024. Pencapaian ini diraikan dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, berlangsung di Swiss-Garden Hotel Melaka dan disempurnakan oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
Pencapaian ini juga meneruskan momentum gemilang KOPETRO, yang sebelum ini dinobatkan sebagai koperasi ketiga terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024. KOPETRO juga baru-baru ini mengumumkan prestasi kewangan dan agihan dividen tahunan yang memberangsangkan bagi tahun 2023, sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai koperasi yang terus kukuh.
Pengerusi KOPETRO, Encik Roslan Abdul Rahim, melahirkan rasa syukur atas pencapaian ini, dan memberikan penghargaan kepada semua warga KOPETRO, termasuk ahli lembaga koperasi, barisan pengurusan, serta anggota koperasi yang telah bekerja keras dan memberikan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha gigih dan kerjasama semua pihak yang percaya kepada misi dan visi KOPETRO.
“Penghargaan ini kami dedikasikan kepada semua anggota KOPETRO yang sentiasa menyokong dan memberi kepercayaan kepada kami. Kami komited untuk terus menggerakkan koperasi ini ke tahap yang lebih tinggi, dengan memastikan setiap langkah diambil dapat memberi impak positif kepada anggota serta komuniti yang kami santuni,” ujar Roslan.
Pada majlis tersebut, anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada wakil Anggota Lembaga Koperasi yang terdiri daripada Setiausaha KOPETRO, Zamri Ismail, dan Bendahari KOPETRO, Adam Keling, sambil disaksikan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kejayaan ini menandakan satu lagi detik manis dalam sejarah KOPETRO yang
memperbaiki kedudukan pada tahun 2023 di tangga ke-4, hasil pengurusan cemerlang dan pencapaian kewangan yang kukuh.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata pengiktirafan ini memberi inspirasi kepada koperasi untuk terus melangkah maju dalam mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Jelasnya, KOPETRO komited untuk terus bergerak ke hadapan dengan strategi yang lebih mantap bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan daya saing koperasi dalam bidang perniagaan.
“Kami komited untuk memastikan KOPETRO kekal relevan dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, dan akan terus berusaha keras untuk meningkatkan keberkesanan serta daya saing koperasi. Dengan sokongan semua pihak, saya yakin KOPETRO akan terus memberi impak positif kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia,” kata Ahmad Shakir.
Tambahnya, dengan pengiktirafan ini, KOPETRO kini berada di landasan yang kukuh untuk terus berkembang, bersaing di peringkat nasional, dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada komuniti dan ekonomi negara.
Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, kini diiktiraf sebagai Koperasi Ke-3 Terbaik di seluruh Malaysia. Baru-baru ini juga, KOPETRO telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.
KOPETRO melakar kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya
Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga dianugerahkan Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan
anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.