Skip to content Skip to footer

KOPETRO RAIH TANGGA KE-3 KOPERASI TERBAIK PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024, sekaligus meneruskan prestasi cemerlang koperasi tersebut yang baru-baru ini mengumumkan prestasi kewangan dan agihan dividen yuran tahunan yang membanggakan bagi tahun 2023. Anugerah tersebut diperoleh pada Malam Apresiasi Hari Koperasi Negara 2024 peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP24) yang diadakan di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, di sini.

Pada majlis tersebut, KOPETRO juga telah menerima Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebanyak RM10 juta. Tabung Modal Pusingan ini adalah inisiatif SKM untuk membantu koperasi-koperasi di Malaysia dalam mengembangkan perniagaan mereka serta memperkukuhkan kedudukan kewangan. Selain itu, KOPETRO turut menerima cek RM1,000 sebagai hadiah tempat ketiga
anugerah tersebut.

Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh SKM ini adalah berdasarkan kecemerlangan KOPETRO dalam mengurus tadbir dan kedudukan kewangan yang terus kukuh. Beliau menekankan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada dedikasi dan usaha gigih warga KOPETRO serta sokongan daripada anggota koperasi dalam melaksanakan strategi yang telah dirancang dengan teliti.

“Penganugerahan ini adalah bukti bahawa KOPETRO kini berada di landasan yang tepat dalam memperkasakan pengurusan operasi yang efisien melalui urus tadbir yang cekap. Inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Strategik KOPETRO 2021-2025 telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan lima sasaran utama kami, dan pengiktirafan ini memberi nilai tambah kepada usaha-usaha kami untuk terus maju ke hadapan,” ujar Roslan.

Tambah beliau dana yang diterima melalui Tabung Modal Pusingan ini akan digunakan untuk meningkatkan lagi prestasi dan keberkesanan operasi KOPETRO, sekaligus memberi manfaat kepada lebih 15,000 anggota koperasi tersebut.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick kepada pihak KOPETRO yang diwakili oleh Roslan bersama Setiausaha, Zamri Ismail di hadapan tetamu-tetamu kehormat dan wakil-wakil koperasi lain dari seluruh Wilayah Persekutuan. Malam Apresiasi HKNWP24 ini turut dihadiri oleh Anggota Lembaga Koperasi serta barisan pengurusan KOPETRO.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata pengiktirafan ini memberi semangat dan dorongan untuk koperasi itu terus melangkah lebih jauh. Jelasnya, KOPETRO komited untuk terus bergerak ke hadapan dengan strategi yang lebih mantap bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan daya saing koperasi dalam bidang perniagaan.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada strategi yang jelas dan pelaksanaan yang konsisten. Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan KOPETRO kekal relevan dan memberikan nilai yang maksimum kepada anggota koperasi. Kami percaya bahawa dengan komitmen dan dedikasi berterusan, KOPETRO akan terus berkembang dan memberikan impak positif kepada komuniti serta ekonomi negara,” kata Ahmad Shakir.

Ditubuhkan 44 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Nombor Empat Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun
tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia. 

KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu. Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.

Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.

Newsletter Signup
Please enable JavaScript in your browser to complete this form.
Agree with Privacy Policy
Socials
Address
KOPERASI KAKITANGAN PETRONAS BERHAD
Block B-3-15, Megan Avenue II,
No 12, Jalan Yap Kwan Seng,
50450 Kuala Lumpur
T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Copyright 2024. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad. All rights reserved

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my