SHAH ALAM – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) memeterai Nota Kerjasama dengan ProPain Holdings Sdn. Bhd. (ProPain) bagi memperkukuh peranan dalam sebarang aktiviti pelaburan dan pembangunan perniagaan yang dapat memberi keuntungan bersama. Tandatangan kerjasama di antara kedua pihak itu diadakan padasebuah majlis sempena pelancaran rasmi Pusat Fisioterapi & Rehabilitasi Sukan ProPain di Emira Residence and Urban Retail, Seksyen 13, di sini.
Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan ProPain menawarkan pemulihan senaman dan fisioterapi kepada semua lapisan masyarakat, dengan dilengkapi pelbagai peralatan terapi berteknologi canggih dari luar negara. Selain memberi tumpuan kepada rawatan dan terapi fizikal, ProPain juga menyediakan rehabilitasi sukan dan senaman kesihatan secara menyeluruh. Ini merangkumi pengurusan kesakitan, terapi peribadi, dan peralatan klinikal terkini.
Selain memperkukuhkan kolaborasi di dalam aktiviti pelaburan dan perniagaan, KOPETRO dan ProPain juga akan mengenal pasti aktiviti, program, dan projek yang boleh diusahakan secara bersama. Kedua-dua pihak juga dalam masa sama menggalakkan perkongsian kepakaran dan keupayaan dalam sebarang aktiviti, program, dan projek yang dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata, kerjasama ini adalah satu langkah strategik untuk memperluas jangkauan perkhidmatan KOPETRO dan meningkatkan nilai tambah kepada anggota koperasi serta komuniti umum.
“Kami yakin bahawa melalui kerjasama ini, banyak peluang perniagaan baru dapat diwujudkan yang akan membawa keuntungan tinggi kepada kedua-dua belah pihak,” ujar Ahmad Shakir.
Nota Kerjasama tersebut diserahkan kepada Ahmad Shakir bagi pihak KOPETRO, oleh Pengarah Urusan Kumpulan ProPain, Khairy Sulaiman sambil disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Pembangunan Wilayah & Luar Bandar, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang terdahulu merasmikan Pusat Fisioterapi & Rehabilitasi Sukan ProPain.
Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Nombor Empat Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahuntersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.