SERDANG – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Dewan Taklimat Serdang, Bangunan Canselori Putra, UPM. Majlis tersebut menyaksikan perjanjian pelbagai bentuk kerjasama yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, termasuk dalam pelaksanaan aktiviti berasaskan ilmu pengetahuan, penerimaan pelajar siswazah dan pasca siswazah untuk latihan industri dan penyelidikan, serta peluang pekerjaan bagi graduan UPM.
Usaha sama di antara KOPETRO dan UPM ini turut merangkumi perkongsian sumber manusia, pertukaran maklumat kepakaran, serta penggunaan teknologi dan fasiliti UPM dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Kerjasama ini juga akan melibatkan perniagaan-perniagaan KOPETRO dalam sektor Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan, serta Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan koperasi tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha KOPETRO untuk memanfaatkan kepakaran akademik dan teknologi yang dimiliki oleh UPM, dan menyediakan peluang yang lebih luas kepada graduan UPM untuk memasuki dunia pekerjaan. Perkara ini sekaligus bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk jangka masa panjang.
“Kami melihat kolaborasi ini sebagai satu peluang untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, di mana UPM akan menyediakan fasiliti dan kepakaran mereka, manakala KOPETRO akan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam industri. Ini adalah satu usaha bersepadu yang tidak hanya akan memberi manfaat kepada kami, tetapi juga
kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata Ahmad Shakir.
Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti berasaskan ilmu pengetahuan yang memanfaatkan kedua-dua pihak, penerimaan pelajar siswazah dan pasca siswazah dari UPM untuk tujuan latihan industri dan penyelidikan, serta penawaran peluang pekerjaan graduan UPM ke KOPETRO. Selain itu, ia melibatkan perkongsian sumber manusia dan pertukaran maklumat kepakaran, pengetahuan, dan kemahiran, serta perkongsian teknologi dan fasiliti UPM dalam pembangunan, pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan bagi kemudahan penggunaan oleh kumpulan sasar.
MoU tersebut ditandatangani oleh Wan Ahmad Tarmizi Wan Abdul Rahman, Naib Pengerusi KOPETRO, dan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPM. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah dan Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj Md Tamrin, Pengarah Pusat Hubungan dan Jaringan, dari pihak UPM.
Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, KOPETRO telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.
KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.