KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Unimax Global Resources Sdn. Bhd. (Unimax) bagi pembekalan eksklusif heavy-duty plastic bags atau beg plastik tahan lasak di Malaysia. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di ibu pejabat KOPETRO di Megan Avenue II, di sini, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha KOPETRO memperluaskan keupayaan perolehan dan meningkatkan rantaian bekalannya.
Melalui MOU ini, KOPETRO akan bekerjasama secara eksklusif dengan Unimax, sebuah anak syarikat Huizhou Hongsheng New Material Technology Co. Ltd. yang berpusat di Guangdong, China. Kerjasama ini bertujuan untuk memastikan bekalan beg plastik tahan lasak yang berkualiti tinggi dan berterusan bagi memenuhi keperluan operasi KOPETRO.
Skop tanggungjawab yang digariskan dalam MOU ini termasuk komitmen KOPETRO untuk menyokong dan memudahkan Unimax dalam mendapatkan pesanan pembelian yang diperlukan. Sebagai balasan, Unimax menjamin ketersediaan stok yang mencukupi dan mematuhi piawaian kualiti yang dipersetujui. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama secara eksklusif dalam projek ini sepanjang tempoh MOU.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata, kerjasama ini menandakan satu langkah strategik yang akan memperkukuhkan rantaian bekalan KOPETRO dan memastikan ketersediaan beg plastik berkualiti tinggi secara konsisten untuk operasi mereka. Perjanjian ini juga selaras dengan komitmen KOPETRO untuk membina hubungan kukuh dengan rakan kongsi dan mempertingkatkan proses perolehan koperasi tersebut.
“Pemeteraian MOU ini bukan sahaja merupakan satu langkah penting ke hadapan, tetapi juga memberikan nilai tambah yang signifikan dalam mencapai objektif strategik kami. Kami yakin kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak, menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan organisasi masing-masing,” kata Roslan dalam ucapannya.
MoU tersebut ditandatangani oleh Roslan selaku Pengerusi KOPETRO, dan Lim Kian Huat, Pengarah Urusan Unimax. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah dan Dato’ Sri Dr. Erwan Dato’ Mohd Tahir, Pengerusi Eksekutif Erwan Berhad. Kerjasama eksklusif antara KOPETRO dan Unimax dijangka membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan menyumbang kepada pertumbuhan industri secara keseluruhannya.
Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, KOPETRO telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.
KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.