MELAKA – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS). Majlis menandatangani MoU ini diadakan di Mydin Mall MITC, Ayer Keroh, di sini, sempena Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka.
Kerjasama ini bertujuan untuk membuka jalan kepada pelbagai aktiviti perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan yang signifikan bagi kedua-dua pihak. Antara bentuk kerjasama yang dipersetujui termasuk dalam aspek pembekalan, pengedaran, dan penjualan produk-produk yang dihasilkan oleh KOPETRO dan KOGMAS. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi keupayaan koperasi dalam mengembangkan pasaran dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat nasional.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim menyatakan bahawa kerjasama ini adalah satu inisiatif penting bagi memperluaskan rangkaian perniagaan KOPETRO, sekali gus memperkukuhkan kedudukan koperasi tersebut dalam landskap ekonomi negara.
Beliau menambah bahawa MoU ini bukan sahaja akan memberi manfaat ekonomi tetapi juga mempereratkan hubungan antara koperasi di Malaysia. “Kerjasama yang kita laksanakan hari ini adalah bukti komitmen yang kuat dalam usaha saling membantu dan memperkukuhkan hubungan antara koperasi di seluruh Malaysia. Saya yakin bahawa melalui kolaborasi yang strategik ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan taraf ekonomi anggota-anggota koperasi tetapi juga dapat menjadikan koperasi sebagai entiti yang lebih berdaya saing dalam era globalisasi ini. Saya berharap agar kerjasama ini berjalan lancar dan membawa manfaat yang besar, bukan sahaja kepada KOPETRO dan KOGMAS, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata Encik Roslan.
Upacara menandatangani perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Roslan sebagai Pengerusi KOPETRO, di samping Pengerusi KOGMAS, Tuan Haji Zaidan Hj. Abd Hadi.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Mustafa Kamal Mohd Nor. Turut hadir, Ahli Lembaga Koperasi serta barisan pengurusan kanan dari KOPETRO dan KOGMAS.
Majlis pertukaran dokumen antara kedua-dua pihak pula disempurnakan pada hari yang sama, disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh yang hadir untuk merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka.
Ditubuhkan 44 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, KOPETRO telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.
KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya
Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.