PUTRAJAYA – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO), melalui anak syarikatnya, KOPETRO Trading & Services Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik bersama Gentari Renewables Sdn. Bhd., anak syarikat Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) bagi penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan lestari.
Pada majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut yang berlangsung pada 29 Jun 2024 yang lalu, Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata kerjasama ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan lestari sejajar dengan usaha global untuk mengawal impak perubahan iklim dan beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran Gentari dalam penyelesaian tenaga bersih untuk fasiliti, aset, anggota, subsidiari, pelanggan dan rangkaian KOPETRO untuk menggunakan penyelesaian tenaga bersih dan lestari,” ujar Roslan.
Tambah beliau, kerjasama ini juga bakal mewujudkan manfaat ekonomi melalui pembangunan pasaran baharu dan peluang perniagaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui untuk KOPETRO dan Gentari sendiri.
Pertukaran dokumen persefahaman ini diserahkan oleh Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO kepada Hasnydzam Hassan, Ketua Komersial & Industri Tenaga Boleh Diperbaharui bagi Malaysia & Asia Tenggara, di Gentari Renewables Sdn. Bhd. Persefahaman kerjasama KOPETRO dan Gentari ini juga akan memanfaatkan lebih 15,000 anggota KOPETRO melalui program pemasangan infrastruktur hijau domestik termasuk pengecas kenderaan EV dan Panel Solar bagi menggalakkan anggota KOPETRO untuk beralih ke penyelesaian tenaga lestari sebagai alternatif, sekaligus mengurangkan penggunaan sumber tenaga tradisional.
Ditubuhkan 44 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi Nombor Empat Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun
tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.