Skip to content Skip to footer

KOPETRO CATAT PENINGKATAN KEUNTUNGAN BERSIH 64% PADA TAHUN KEWANGAN 2023 BERBANDING TAHUN 2022

Putrajaya, 29 Jun 2024 – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) mengumumkan prestasi kewangan yang sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM344 juta, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 2022, yang berjumlah sebanyak RM291 juta. Lebih membanggakan lagi, KOPETRO turut
mencatatkan lonjakan prestasi kewangan yang cemerlang dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 64 peratus kepada RM9.2 juta berbanding tahun 2022, sejajar dengan kenaikan permintaan produk runcit, makanan dan minuman serta pelancongan akibat pemulihan ekonomi global.

KOPETRO juga mengumumkan agihan dividen yuran tahunan sebanyak 5 peratus, modal syer sebanyak 6 peratus, dan syer bonus 2.5 peratus kepada lebih 15,000 Anggota Koperasi bagi tahun 2023. Prestasi kewangan dan pengisytiharan dividen Tahun 2023 tersebut telah diumumkan di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KOPETRO yang diadakan buat kali yang ke-41, pada hari Sabtu yang lalu di Hotel The Everly Putrajaya.

 

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim, menekankan kepentingan hubungan erat antara Perwakilan, Lembaga dan pihak Pengurusan Koperasi demi memastikan pendapat dan maklum balas mereka diambil kira dalam usaha mengembangkan perniagaan KOPETRO ke tahap yang lebih cemerlang.

Roslan turut memaklumkan kepada para perwakilan yang hadir, sejajar dengan kecemerlangan KOPETRO pada tahun 2023, antara langkah yang diambil bagi meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan KOPETRO bagi tahun yang mendatang, adalah dengan membina kerjasama strategik dengan koperasi asas, Federasi Koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKM), Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), selain kolaborasi dengan pemain-pemain industri. “Saya yakin, kerjasama strategik akan membawa pelbagai kebaikan dan membuka peluang baharu kepada KOPETRO dan rakan niaga kami. Dengan sinergi dan kebolehan yang ada, kami berharap dapat mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang perniagaan dan memberikan pulangan yang optimum kepada Anggota Koperasi,” ujar Roslan.

Uniknya di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-41 adalah Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat KOPETRO iaitu KOPETRO Trading bersama Gentari Renewables Sdn. Bhd., dan KOPETRO Retail bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd.

Roslan turut menzahirkan rasa penghargaan terhadap para perwakilan dan anggota-anggotanya yang merupakan nadi penting dalam melestarikan koperasi tersebut sehingga berjaya mencecah tahun yang ke-44 penubuhannya.

Jelasnya lagi, KOPETRO akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan anggota melalui pelbagai manfaat, bantuan, dan produk pembiayaan yang diharap mampu memperkukuhkan lagi kedudukan KOPETRO sebagai entiti perniagaan yang berdaya saing dan memberikan manfaat jangka panjang kepada Anggota Koperasi.

Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 pada Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.

Selain Keanggotaan dan Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Servis Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022. 

Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.

 

 

Newsletter Signup
Please enable JavaScript in your browser to complete this form.
Agree with Privacy Policy
Socials
Address
KOPERASI KAKITANGAN PETRONAS BERHAD
Block B-3-15, Megan Avenue II,
No 12, Jalan Yap Kwan Seng,
50450 Kuala Lumpur
T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Copyright 2024. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad. All rights reserved

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my