KOPETRO Destinasi Pilihan
Hotel Singgah Kertih, Kertih, Terengganu menjadi pilihan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan bagi mengadakan promosi produk pelancongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bersama koperasi-koperasi dan media-media tempatan. Program tersebut diketuai oleh Encik Zahari bin Omar, Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan serta turut bersama Puan Hajah Jamaliah binti Ismail, Timbalan Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan dan wakil-wakil koperasi yang terlibat bagi operasi pelancongan seramai 30 orang serta wakil media seramai 2 orang.
Wakil dari KOPETRO diketuai oleh Yang Berbahagia, Datuk Haji Abdul Razak bin Hussain, Setiausaha KOPETRO. Puan Hajah Hafida binti Hassan, Anggota Lembaga KOPETRO serta Tuan Haji Abdol Alim bin Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO turut memeriahkan majlis yang berlangsung di Hotel Singgah Kertih.
Menurut Datuk Haji Abdul Razak bin Hussain, KOPETRO sentiasa komited untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana koperasi di dalam Malaysia mahupun luar negara. Justeru, beliau memberi penghargaan tinggi di atas inisiatif SKM dan koperasi-koperasi yang terlibat bagi mengambil inisiatif dan menjayakan program promosi produk pelancongan khususnya di Terengganu dan Malaysia amnya. Wakil pembentang dari Singgah Kertih iaitu Encik Hasnoal bin Haji Idris, Ketua KOPETRO Hotel & Resorts Sdn Bhd menyampaikan pembentangan mengenai Singgah Kertih dan Singgah Pengerang. Beliau juga berkata Singgah Pengerang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020. Diakhir majlis para tetamu disajikan dengan juadah yang enak disediakan oleh LengQuas Cafe.