Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KOPETRO Ke-35
KOPETRO telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-35 pada 30 Jun 2018 di Tenera Hotel, Bangi, Selangor dengan jayanya. Mesyuarat tersebut telah dihadiri seramai 88 orang perwakilan dari seluruh negara termasuk 14 orang Anggota Lembaga KOPETRO. Mesyuarat telah berjalan dengan lancar melibatkan 19 Agenda.
Datuk Haji Abdul Razak bin Hussain, Setiausaha KOPETRO merangkap Penasihat Jawatankuasa Mesyuarat Agung Perwakilan ke-35 menyampaikan ucapan alu-aluan. Mesyuarat Agung Perwakilan kali ini telah dirasmikan oleh Encik Khairu Najhan bin Zainuddin, Pengerusi KOPETRO. Bacaan Ikrar diketuai oleh Encik Ridzuan bin Zainal Abidin, Pengurus Hal Ehwal Korporat KOPETRO.
Menurut Encik Khairu Najhan, “KOPETRO adalah salah sebuah koperasi yang berdaya saing, berdaya maju dan berjaya. Baru-baru ini KOPETRO telah sekali lagi mendapat pengiktirafan antara 10 buah Koperasi Terbaik daripada lebih 13,000 buah Koperasi yang didaftarkan di Malaysia. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana limpah dan kurniaNya, KOPETRO terus kekal terbaik.”Tambahnya lagi, “Kejayaan ini adalah kejayaan bersama. Semoga kejayaan ini terus lestari untuk memastikan KOPETRO terus relevan dan kekal terbaik.” “Kini KOPETRO telah berjaya mengurangkan pergantungan ini dari 90% kepada 56% dan kita menyasarkan hanya 20% pergantungan kepada PETRONAS pada tahun-tahun seterusnya melalui perkembangan perniagaan ke pasaran terbuka.”
“Berdasarkan kepada keuntungan KOPETRO bagi tahun 2017, Anggota Lembaga Koperasi mencadangkan pembayaran dividen sebanyak 3.75% ke atas Modal Yuran dan 5.25% ke atas Modal Saham. Ia melibatkan kos sebanyak RM9.7 juta berbanding RM8.6 juta pada tahun 2017 iaitu
peningkatan sebanyak 14%.”, ujarnya. Di dalam pemilihan Anggota Lembaga Koperasi terdapat enam kekosongan termasuk satu kekosongan bagi menggantikan Encik Mohd Johari Idham bin Amiruddin yang telah meletak jawatan sebelum Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan diadakan. Lima orang calon yang mendapat undi tertinggi seterusnya memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun ialah Encik Roslan bin Abdul Rahim, Encik Zamri bin Ismail, Puan Riguan binti Rashidi, Puan Hafida binti Hassan dan Encik Azman bin A. Rahman. Manakala Encik Mokhtar bin Ahmad menduduki undian di tempat keenam akan memegang jawatan selama setahun sahaja.