KUALA LUMPUR – Sukan Ukhwah dan Integrasi (SUKI) 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 23 November 2024 di beberapa lokasi sekitar ibu kota, melibatkan penyertaan dari tiga organisasi iaitu Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO), Bank Islam, dan KOOP Sahabat. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kakitangan ketiga-tiga organisasi, selain memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti sukan.
SUKI 2024 menyaksikan penglibatan kakitangan dari tiga organisasi tersebut melalui kelab sukan yang terdiri daripada Kelab Sukan dan Rekreasi KOPETRO (KSRK), Kelab Bank Islam dan Kelab Sukan dan Rekreasi Koop Sahabat.
Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan pada SUKI 2024, termasuk Mobile Legend, bola sepak, badminton, bola jaring, futsal, dan bola tampar. Setiap acara menyaksikan penglibatan aktif dan kompetitif daripada para peserta, yang
mencerminkan semangat kesukanan mereka. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah SUKI 2024 bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi satu wadah untuk KOPETRO memperkukuhkan ukhuwah dan memupuk semangat muhibah di antara KOPETRO bersama dengan organisasi Bank Islam dan Koop Sahabat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur daripada ketiga-tiga organisasi yang bertungkus-lumus merealisasikan SUKI 2024 ini. Kita dapat lihat semangat kerjasama dan persaudaraan yang terpancar sepanjang acara ini berlangsung yang membuktikan bahawa dengan semangat kesukanan, kita mampu melangkaui sempadan organisasi dan bersatu demi mencapai matlamat yang sama. Terima kasih kepada semua peserta dan penyokong yang menjayakan acara ini,” kata Ahmad Shakir.
Tambah Ahmad Shakir, beliau berharap program seperti SUKI 2024 dapat diteruskan di masa hadapan dengan skala yang lebih besar, melibatkan lebih ramai pihak. Beliau menyatakan bahawa dengan sokongan semua pihak, acara ini berpotensi untuk berkembang menjadi tradisi tahunan yang lebih luas, sekaligus menjadi platform utama untuk membina hubungan yang lebih erat dan bermakna antara organisasi.
Majlis penutup diadakan di Sportizza Setapak dihadiri oleh Ahmad Shakir di samping Ketua Pegawai Operasi KOPETRO, Mohd Safwan Zulmani. Turut hadir, Pengerusi Kelab Bank Islam Pusat merangkap Head of Card Business, Deposit & Cards Bank Islam, Encik Ahdan Shariff Muhammad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOOP Sahabat, Tuan Haji Mazri Mahmood. Dalam ucapan mereka, penghargaan diberikan kepada penganjur dan peserta atas dedikasi dan usaha mereka dalam menjayakan program ini.
Sepanjang SUKI 2024, setiap pertandingan yang dijalankan melalui pelbagai jenis sukan, berlangsung dengan penuh semangat kesukanan di kalangan para peserta. Meskipun setiap pasukan bersaing untuk meraih kemenangan, aspek profesionalisme dan saling menghormati jelas terpancar. Acara ini juga memberikan peluang kepada kakitangan dari pelbagai organisasi untuk berinteraksi di luar persekitaran kerja formal,sekali gus mengukuhkan hubungan antara organisasi.
Kejayaan SUKI 2024 membuktikan keupayaan sukan sebagai salah satu medium penyatuan yang efektif dan perlu diteruskan sebagai tradisi tahunan yang dinantikan, melambangkan ukhwah, kerjasama, dan semangat kesukanan antara organisasi.
Ditubuhkan 44 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, terus memacu kejayaan sebagai salah satu koperasi terkemuka di Malaysia, dan diiktiraf sebagai Koperasi Ke-3 Terbaik di seluruh Malaysia. Baru-baru ini juga, KOPETRO telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.
KOPETRO melakar kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan status Superbrands Awards sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga dianugerahkan Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.
Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Perdagangan dan Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022. Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.