Skip to content Skip to footer

KOPETRO & SITI KHADIJAH JALIN KERJASAMA STRATEGIK BAWA MANFAAT EKSKLUSIF KEPADA ANGGOTA KOPERASI

NILAI, 21 FEBRUARI 2025 – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan jenama telekung premium terkemuka, Siti Khadijah, dalam satu majlis yang berlangsung di Laman Khadijah, di sini. Kerjasama ini bertujuan untuk menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada anggota KOPETRO, termasuk potongan harga istimewa dan peluang pembelian borong pada kadar lebih kompetitif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, kolaborasi ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada anggota, tetapi juga menyokong gaya hidup yang praktikal dan berkualiti.

“Sebagai sebuah koperasi yang komited dalam meningkatkan kesejahteraan anggota, KOPETRO sentiasa mencari rakan strategik yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti kami. Dengan reputasi Siti Khadijah sebagai jenama premium dalam pakaian ibadah dan gaya hidup, kami percaya kerjasama ini akan memberikan keistimewaan tersendiri kepada anggota,” katanya.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ahmad Shakir, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin. Turut hadir pada majlis tersebut, Anggota Lembaga Koperasi yang diketuai oleh Pengerusi, Wan Ahmad Tarmizi Wan Abdul Rahman serta barisan pengurusan dari KOPETRO dan Siti Khadijah.

Melalui MoU ini, anggota KOPETRO akan menikmati pelbagai tawaran istimewa, termasuk diskaun eksklusif untuk pembelian produk Siti Khadijah, serta baucar khas yang boleh ditebus ketika pembelian di cawangan Siti Khadijah dengan menunjukkan kad digital melalui aplikasi myKOPETRO.

Kerjasama ini diharap bakal memberikan impak yang signifikan kepada kedua-dua pihak, bukan sahaja dari segi peningkatan kesedaran jenama tetapi juga dalam memperkukuhkan nilai keanggotaan KOPETRO. Dengan sokongan dan komitmen kedua-dua organisasi, MoU ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkayakan pengalaman anggota dengan akses kepada produk berkualiti tinggi pada harga lebih menarik.

Ditubuhkan pada tahun 2009, Siti Khadijah lahir daripada aspirasi Puan Hajah Padzilah untuk menghasilkan telekung yang paling selesa terutamanya pada bahagian muka. Bertitik tolak daripada niat untuk memberikan manfaat, Siti Khadijah terus mengembangkan sayap dengan menawarkan pelbagai produk gaya hidup untuk seisi keluarga di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Terbaharu, pembukaan Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, Nilai Impian, Negeri Sembilan, masyarakat boleh melihat dengan lebih dekat bagaimana jenama Siti Khadijah kekal komited dalam memberikan hasil yang terbaik, dalam dan luar negara, sebagai Lambang Cinta Abadi.

Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO kini memasuki tahun ke-45 penubuhannya, dan dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS serta anak-anak syarikatnya. KOPETRO kini terus memacu kejayaan sebagai salah satu koperasi terkemuka di Malaysia, dan diiktiraf sebagai Koperasi Ke-3 Terbaik di seluruh Malaysia untuk tahun 2024. KOPETRO juga telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.

KOPETRO mengukir sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai penerima SME100 Awards: Malaysia’s Fast Moving Companies, sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada Disember 2024. Selain itu, KOPETRO turut pernah merangkul Superbrands Awards pada tahun 2023. Tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO menerima Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan sempena Bulan Koperasi Kebangsaan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Tenaga, Hartanah dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.

 

Newsletter Signup
Please enable JavaScript in your browser to complete this form.
Agree with Privacy Policy
Socials
Address
KOPERASI KAKITANGAN PETRONAS BERHAD
Block B-3-15, Megan Avenue II,
No 12, Jalan Yap Kwan Seng,
50450 Kuala Lumpur
T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Copyright 2024. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad. All rights reserved

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my