KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI 2025 – Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital), sebuah entiti usaha sama antara Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia atau Bursa) dan RAM Holdings Berhad (RAM), telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) bagi memperluaskan akses anggota KOPETRO kepada pelaburan pendapatan tetap serta meningkatkan celik kewangan dalam kalangan anggota koperasi. MoC ini telah ditandatangani oleh Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan Pengerusi BR Capital, serta Encik Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO.
Melalui kerjasama ini, BR Capital dan KOPETRO akan bekerjasama dalam menyediakan akses kepada instrumen pelaburan pendapatan tetap yang terdapat di platform BR Capital, termasuk nota pelaburan yang diberi penarafan kredit, kepada rangkaian luas anggota KOPETRO. Inisiatif ini membolehkan anggota mempelbagaikan pegangan pelaburan mereka, membuka peluang penjanaan pendapatan yang lebih stabil, serta menyokong matlamat kewangan jangka panjang mereka.
Selain itu, kerjasama ini turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemahaman anggota terhadap peluang pelaburan baharu di platform BR Capital. Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi memperkenalkan manfaat dan potensi pelaburan pendapatan tetap kepada anggota, sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih berinformasi. Kedua-dua pihak juga akan meneroka peluang kerjasama lain yang selari dengan matlamat jangka panjang masing-masing.
Menurut Encik Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, “Kolaborasi ini membuka lebih banyak pilihan pelaburan kepada 15,000 anggota KOPETRO, dengan memberi mereka akses kepada platform pelaburan dan pembiayaan BR Capital. Melalui usaha ini, anggota dapat meneroka instrumen pelaburan yang berpotensi memberikan pulangan mampan, sejajar dengan amalan kewangan yang bertanggungjawab. Dengan kepakaran dan penyelesaian terstruktur yang ditawarkan oleh BR Capital, kami yakin inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan strategik kepada anggota bagi merancang masa depan kewangan mereka dengan lebih kukuh.”
Sementara itu, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “MoC ini menandakan langkah penting dalam usaha BR Capital untuk memperluaskan akses kepada pasaran modal Malaysia. Bersama KOPETRO, kami komited dalam menyediakan peluang pelaburan berkualiti tinggi kepada anggota koperasi bagi membolehkan mereka mengembangkan portfolio pelaburan serta memperkukuh kedudukan kewangan mereka.”
Beliau menambah, “Kami percaya kerjasama ini akan mewujudkan ekosistem pelaburan yang lebih dinamik, memberi manfaat kepada pihak yang menerbitkan instrumen pelaburan serta pelabur, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.”