Skip to content Skip to footer

KOPETRO & AMB CONNECT METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERLUAS PELUANG PELABURAN PATUH SYARIAH

KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AMB Connect Sdn. Bhd., sebuah platform pendanaan ekuiti (ECF-i) patuh syariah yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Majlis menandatangani MoU itu berlangsung pada 14 Januari 2025 di ibu pejabat KOPETRO, di sini, menandakan permulaan kerjasama strategik khusus kepada anggota koperasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, menyatakan bahawa kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kepada anggota koperasi untuk melabur dalam aset kewangan yang mematuhi prinsip syariah sambil memperkukuh kestabilan kewangan mereka.

“Kerjasama ini adalah bukti komitmen KOPETRO untuk terus memperkasakan anggota kami dengan peluang pelaburan yang beretika dan berimpak tinggi. Dengan akses ke platform AMB Connect, anggota dapat mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka, berpeluang memperoleh pulangan yang kompetitif sekali gus dapat merancang kewangan untuk persediaan masa depan dengan lebih yakin,” kata Ahmad Shakir.

 

Tambahnya, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keterangkuman kewangan tetapi juga memperkenalkan cara baharu untuk mencipta nilai dalam pasaran modal patuh syariah di Malaysia. Kerjasama ini juga adalah langkah penting dalam memperluas akses kepada pasaran persendirian serta mempromosikan inovasi pelaburan di dalam pasaran.

Melalui perjanjian ini, anggota KOPETRO akan mendapat akses kepada platform AMB Connect, yang menawarkan produk pelaburan yang direka untuk memenuhi keperluan pasaran. Kerjasama ini juga akan memberi peluang kepada KOPETRO untuk menggunakan struktur pendanaan AMB Connect bagi mengembangkan perniagaan KOPETRO, selain meneroka potensi penggabungan dan pengambilalihan strategik (M&A).

Upacara menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh Ahmad Shakir dan Ketua Pegawai Eksekutif AMB Connect, Cham Owi Tong, dan disaksikan oleh Pengerusi KOPETRO Roslan Abdul Rahim, serta Ketua Pegawai Kewangan, Ng Eng Keong. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Koperasi, serta barisan pengurusan KOPETRO dan AMB Connect.

AMB Connect ialah sebuah platform yang menawarkan produk pendanaan ekuiti patuh syariah untuk perniagaan di pelbagai peringkat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula atau startup. Dengan kerangka tadbir urus syariah yang komprehensif dan rakan penasihat kewangan Islam yang terkemuka, AMB Connect mempromosikan pelaburan dalam aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, KOPETRO kini memasuki tahun ke-45 penubuhannya, dan dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS serta anak-anak syarikatnya. KOPETRO kini terus memacu kejayaan sebagai salah satu koperasi terkemuka di Malaysia, dan diiktiraf sebagai Koperasi Ke-3 Terbaik di seluruh Malaysia untuk tahun 2024. KOPETRO juga telah dinobatkan sebagai koperasi ke-3 terbaik bagi Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024.

KOPETRO mengukir sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai penerima SME100 Awards: Malaysia’s Fast Moving Companies, sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada Disember 2024. Selain itu, KOPETRO turut pernah merangkul Superbrands Awards pada tahun 2023. Tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO menerima Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan sempena Bulan Koperasi Kebangsaan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

KOPETRO juga dianugerahkan Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu.

Selain Keanggotaan dan Perkhidmatan Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman, Tenaga, Hartanah dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022.

Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.

Newsletter Signup
Please enable JavaScript in your browser to complete this form.
Agree with Privacy Policy
Socials
Address
KOPERASI KAKITANGAN PETRONAS BERHAD
Block B-3-15, Megan Avenue II,
No 12, Jalan Yap Kwan Seng,
50450 Kuala Lumpur
T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Copyright 2024. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad. All rights reserved

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my

Follow us:

T: 03 2161 1990
E: info@kopetro.com.my