KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan adalah bulan suci yang dinantikan oleh umat Islam. Setiap kali Ramadan tiba, majlis berbuka puasa dilihat menjadi perantara yang sangat baik bagi menjalinkan hubungan kejiranan dan kasih sayang di antara satu sama lain.
Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) meniupkan semangat Ramadan tahun ini dengan menganjurkan majlis berbuka puasa & solat tarawih dalam kerjasama bersama Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) di Surau Al Muhsinin, KLCC pada 15 Mac yang lalu.
Majlis tersebut telah disertai oleh lebih 100 orang yang terdiri daripada kakitangan KOPETRO, wakil BAKIP serta orang awam bagi menyambut kedatangan Ramadan, di samping mengeratkan silaturahim di antara pihak koperasi, BAKIP dan orang ramai.
Majlis tersebut dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al Idrus. Para jemaah telah dihidangkan dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh KOPETRO Catering, sebuah anak syarikat milik KOPETRO.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim, berkata, selain beribadah, majlis tersebut dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara KOPETRO, BAKIP dan orang awam, selain memupuk nilai-nilai kekeluargaan dan kebersamaan yang sentiasa dititikberatkan oleh KOPETRO.
“Di samping berpuasa dan beribadah dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah, bulan Ramadan juga merupakan waktu untuk meningkatkan kepekaan sosial dan empati terhadap orang lain. Dalam suasana berkah ini, kami di KOPETRO komited untuk terus memperluas inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan, sekaligus menjadikan majlis ini sebagai peluang untuk mengeratkan ukhuwah bersama pihak BAKIP dan juga orang ramai,” ujar Roslan.
Beliau berharap semangat kebersamaan yang dapat dilihat dalam program seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan dan tidak terhad pada bulan puasa sahaja, bagi memastikan keberkatan Ramadan terus mengalir dalam setiap langkah kehidupan semua.
Majlis berbuka puasa dan solat tarawih ini turut disertai oleh Anggota Lembaga Koperasi yang diketuai oleh Roslan, bersama Setiausaha, Zamri Ismail, dan Bendahari, Adam Keling. Tidak ketinggalan, majlis turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah dan barisan pengurusan KOPETRO. Pihak BAKIP pula diwakili oleh M Amiruddin A Mutalib, Pegawai Operasi Keselamatan, bagi Kumpulan Keselamatan PETRONAS.
Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO melakar kejayaan baharu apabila dianugerahkan status Superbrands sekaligus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun 2023. Selain itu, tahun tersebut juga menyaksikan KOPETRO merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan 2023 pada Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 bagi kategori Riadah – Solusi Percutian dan Pelancongan melalui syarikat KOPETRO Travel. Pada tahun 2020, KOPETRO merangkul anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards melalui KOPETRO Food, yang sekaligus menjadi anak syarikat milik koperasi pertama diiktiraf dengan anugerah seumpama itu. KOPETRO turut dinobatkan sebagai Ikon Koperasi Tahun 2020 oleh Lang International Corporate Titan Awards.
Selain Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman, juga Perdagangan dan Peruncitan.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.