MEGAN AVENUE II, 30 Julai 2025, Rabu – Barisan EXCO KOPETRO baharu yang diketuai oleh Pengerusi KOPETRO, Tuan Haji Ahmad Nizam bin Abdul Latif telah mengadakan sesi Exco Walkabout di Megan Avenue II dan Tower 1, KLCC serta KOPETRO Townhall 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk lebih mengenali kakitangan KOPETRO serta memperkenalkan diri secara langsung. Program selama empat jam ini menjadi platform penting untuk memberi peluang kepada EXCO dan kakitangan berinteraksi secara langsung serta memperkukuhkan hubungan antara barisan EXCO dan pengurusan KOPETRO.
Dalam sesi Exco Walkabout tersebut, Pengerusi KOPETRO menegaskan pentingnya kerjasama erat antara semua peringkat kakitangan tanpa mengira pangkat mahupun jabatan. Beliau menyeru agar budaya kolaboratif diteruskan demi mencapai kecemerlangan organisasi yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, KOPETRO Townhall 2025 yang bertemakan “Mendukung Integriti: Memacu Kemajuan & Kejayaan” turut diadakan sebagai platform perkongsian hala tuju strategik syarikat serta pencapaian semasa bersama seluruh warga kerja. Penekanan terhadap nilai teras Integriti sebagai salah satu PDC Core Value KOPETRO dizahirkan melalui sesi townhall ini, sekali gus membudayakan amalan integriti dalam setiap aspek kerja warga KOPETRO.
Townhall yang dipimpin oleh Pengerusi KOPETRO, Tuan Haji Ahmad Nizam bin Abdul Latif, turut menyaksikan beliau membentangkan Prestasi Kewangan KOPETRO 2025 serta pelaksanaan inisiatif ‘FORWARD30’, yang menjadi pelan strategik KOPETRO dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Sesi ini bukan sahaja memberi ruang kepada kakitangan untuk mendapatkan penjelasan secara terus daripada pihak pengurusan tertinggi, malah menjadi wadah untuk menyuarakan pandangan dan cadangan bagi memperkukuh prestasi serta menyemarakkan semangat kebersamaan di kalangan warga KOPETRO.
Pengerusi secara rasmi mengucapkan tahniah kepada seluruh kakitangan atas kejayaan besar KOPETRO yang dinobatkan sebagai pemenang Tempat Pertama, Anugerah Koperasi Terbaik Malaysia 2025. Ia merupakan satu pencapaian yang mencerminkan komitmen, kerja keras dan dedikasi seluruh warga KOPETRO.
Beliau turut menyuntik semangat agar semua pihak terus fokus, kekalkan momentum dan tingkatkan prestasi bagi memastikan kedudukan terbaik ini dapat dipertahankan serta diperkukuh pada masa hadapan.